Thursday, January 27, 2011

Pantun Cinta


Pantun-pantun di bawah ini 100% diperah dari otak Farihin Mohd Raihan bersempena dengan Kempen Sejuta Pantun pada tahun 2006. ;D

Berkedip-kedipan bintang di langit,
Cahayanya menghiasi kegelapan suasana,
Memanglah jiwa terasa perit,
Tak dapat bersua insan tercinta.

Burung kedidi terbang ke selatan,
Terbang bersama burung lelayang,
Permata, nilam, zamrud dan intan,
Sanggup digadai buat yang tersayang.

Jejaka tampan leka berangan,
Duduk di lantai tidak beralas,
Umpama bertepuk sebelah tangan,
Cinta yang diharap tidak berbalas.

Naik perahu ke Lembah Kinta,
Tiba di muara patah dayungnya,
Sudah adat orang bercinta,
Ada suka dan ada dukanya.

Harum semerbak bunga seroja,
Berjaya memikat hati Cik Sarah,
Sakitnya hati si cantik jelita,
Apabila kekasih berpaling arah.

Gerimis turun tidak dipinta,
Umpama mutiara gugur diseka,
Apa gunanya kalau bercinta,
Setiap saat bermasam muka.

Biru laut memukau mata,
Sang mentari mula memancar cahaya,
Jangan cuba mempermain cinta,
Tersilap langkah buruk padahnya.

Gugur sebiji buah kelapa,
Isinya putih, manis airnya,
Resah menunggu kedatangan jejaka,
Janji temu dilupa nak kena agaknya.

Sehijau daun semerah saga,
Sebutir permata bersinar kilaunya,
Ingin sekali hati menduga,
Adakah kekanda ada yang punya?

Hinggap si pungguk di atas dahan,
Sungguh setia menunggu bulan,
Hidup ini perlu berteman,
Tak kira lelaki ataupun perempuan.

Hidup subur pokok kenanga,
Daunnya gugur di celah dahan,
Kalau mahu menyunting sang bunga,
Pastikan dada penuh ilmu dan amalan

Angin malam dingin sekali,
Bunyi unggas bersahut-sahutan,
Janganlah cuba menyiksa diri,
Asyik bercinta dan abai pelajaran.

Langit merah di senja waktu,
Terbang pulang burung merpati,
Kalau selalu bersikap cemburu,
Alamat larilah kekasih hati.

Rumput menghijau, awan memutih,
Saujana sungguh mata memandang,
Si teruna mula berasa letih,
Kekasihnya seringkali meradang.

Bunga mawar tangkainya berduri,
Tersilap langkah terpalitlah luka,
Cinta perlu komitmen yang tinggi,
Bukan hanya sekadar suka-suka.

Bangun si petani di awal pagi,
Membanting tulang, keringat diseka,
Cinta keluarga dan diri sendiri,
Tuhan yang satu jangan dilupa,

Siang berakhir malam menjelma,
Bunyi cengkerik mula bergema,
Apabila sayang berjalan bersama,
Apabila benci berpaling muka.

Masam rasanya buah mempelam,
Dipetik daripada pokok nan rendang,,
Hati mula berasa geram,
Kekasih hati disambar orang.

Duduk bersantai di tepi laut,
Pasirnya putih, terbentang pantainya ,
Bagaimanana hati tak terpaut,
Santun bahasa sopan pekertinya.

Tatkala ombak menghempas ke sisir,
Ranting kayu dihanyut bersama,
Sebelum bercinta baik berfikir,
Sanggupkah berkongsi jiwa dan raga.


(Kalau nak pantun-pantun ni sila ‘cite’ (sebutan “sait” bukan ciii-terrr) nama blog aku ye. Kau ingat senang aku nak karang pantun ni. Jangan main cilok-cilok je) ;D

Sunday, January 16, 2011

Lagu Rap

Bila godek-godek laptop lama tiba-tiba terjumpa pulak lirik nih.
Tapi aku main bantai je tulis ikut sedap jari jemari. Takda verse verse, chorus apajadah suma tu.

Lirik ni aku tulis masa aku Form 2 (2005) iaitu ketika umur aku masih belasan tahun lagi (nak gebang sekarang dah 20 tahun lah tuuu). Tak percaya tanyalah Puan Sri Affifah Hanie Azlan. Dialah saksi segala saksi bagi penghasilan masterpiece ini.

Cehh 'masterpiece' tak agak-agak.

AMARAN : Lirik ini mempunyai sindiran dan caci-maki yang amat tinggi.


Orang kata cinta itu buta
Tak terkata
Terbelit lidah utk berbicara
Ku tak percaya
Entahlah aku pun tak tahu
Merapu-rapu terkedu kedu
Terus membisu
Bagai ada sembilu
Betapa bodohnya
Bila mengikut nafsu durjana
Lupa sahabat lupa keluarga
Nampak boyfriend terus segar
Dialah the best
Hari-hari sms
Sehari tak jumpa rasa mcm nak mampos
Seminit tak bergayut rasa nak bunuh diri terus
Bil telefon meletup
Mak bapak terduduk, tak sanggup
Mulutpun terkatup
Tak tahu nak buat apa
Nak jaga si anak dara
Hari-hari beli top up
Kononnya credit expired tanpa sebab
Mak bapak tersepit
Anak dating mat rempit
Hari-hari balik lewat malam
Baju dah mcm baju dalam
Lebih baik terlanjang
Kena terajang, dileter panjang
Remaja kita abad ni tidak tahu malu lagi
Kononnya cinta suci
Tubuh badan diberi
Jantan penuh nafsu mula tak sedar diri
Menjamah tubuh
Tak pernah jenuh
Akibatnya tak pula ditanggung
Sudah mengandung
Inikah cinta?
Cinta yang buta?
Atau nafsu yg bertanduk semata-mata?
Jangan jadi bodoh
Masa depanmu terbunuh!

Itulah nafsu cinta buta
Melenyapkan dusta
Membutakan mata
Bukalah matamu
Jangan biarkan ia tertutup
Aku tahu kau tak bisa
melihat dirimu..
Jangan kau terpedaya
dengan cinta yang tuli dan buta
Penuh dusta

Kau yang tiada mata
Otakmu dilutut, imanmu tersangkut
Mulut mula mencarut
Bercium mulut
Teraba tergaruk hingga kemaruk
Pantang duduk mula peluk-peluk
JAIM datang mula cari tempat nak sorok
Menyorok tapi seronok
Apa nak jadi dengan dunia ini?
Dahsyat tak terperi hilanglah seri..

Ke hulu ke hilir, belayar, berakit
Bawa telefon bimbit
Terkepit-kepit
Telefon berkamera nak show off la konon
Macam-macam dimuat turun
Cerita blue ka?
Tak pakai baju ka?
Semuanya ada, lengkap semua
Mulalah merakam adegan
Diri dan boyfriend bercumbuan
Bersekedudukan
Buat benda tak senonoh
Tinggalkan apa yang tuhan suruh
Kenapa begini?
Ini bukan cinta suci lagi
Ini nafsu cinta buta
Tak bermata
Tak berilmu di dada
Tuhan akan murka
Pintu masih terbuka untukmu bertaubat
Sebelum terlambat
Jangan tersesat
Lupakan nafsu cinta durjanamu itu
Lupakan musuh seteru
Tumpu pada Yang Satu
Sujud pada tuhanmu
Moga diberi petunjuk

Jika itu yang kau mahu, Tuhan Maha Tahu
Berdoalah sebelum kau kaku
Pulanglah ke pangkal jalan
Kamu masih disayang Tuhan
Tatkala nafas masih berhembus
Sebelum kau dikambus
Masih ada jalan yang lurus
Tidak pernah tandus
Ingatlah Tuhan itu Maha Pengampun
Tak kira dosa apapun
Asal kau ikhlas da jujur
Menyesali apa yang kau terlanjur
Taubat nasuha itu jalannya
Jangan ditangguh
Lakukannya sebelum kau menutup mata

Buat selamanya....

Saturday, January 15, 2011

Dan hari ini kita semua... (Bahagian 1)

(Entri ini sudah hampir setahun terperap dalam laptop. Jadi maknanya, ni semua kisah lama ye rakan-rakan. Takda kena mengena dengan apa-apa yang berlaku sekarang.Dan oleh kerana entri ini terlalu panjang, maka saya dengan ini memecahkan kisah ini kepada beberapa bahagian. Stay tuned!)

BAHAGIAN 1

“Awal bangun hari ni?” sapa nenekku apabila melihatku bangkit dari kamar.
Jam menunjukkan pukul 10 pagi, nak diikutkan takda la bangun awal sangat pun. Cuma aku je yang mempunyai sindrom bangun pukul tiga belas. Selagi matahari tak naik, selagi tu mata dipejam rapat.

“Hari ni Inn janji dengan kawan nak keluar,” balasku sambil menenyeh-nenyeh mata yang gatal.
“Nak keluar dengan siapa?” soal nenekku yang ku panggil “Wan” itu sambil menyusun baju di dalam almari.
“Dengan kawan-kawan la. Joyesh, Arwin, Farhan....” aku sekadar menyebut beberapa nama
“Kawan perempuan seorang pun takde ke?!” bulat mata nenekku merenung aku.

“Err...Inn keluar nanti jumpa kawan-kawan perempuan la. Budak-budak UiTM,” aku cuba menjelaskan perkara yang sebenar takut-takut nenek aku buruk sangka pulak pada aku bila aku nak keluar dengan sekumpulan lelaki.

Sememangnya, aku memang dah berjanji nak jumpa Eyqa dan Ayeen di MP. Tapi since aku ada kat rumah dan takda sapa yang boleh hantar, aku pun ajak la Joyesh and Arwin semua meronggeng sekali(NOTA TAMBAHAN: Joyesh ada kereta dan dia sangat baik hati untuk hantar anda ke mana saja anda pergi).

“Bukan ke budak-budak UiTM tu kau dah hari-hari jumpa?! Nak keluar lagi dengan diorang lagi buat apa? Cubalah spend time kat rumah bila dah balik hujung-hujung minggu ni. Penat atuk kau ambik kau balik tiap-tiap minggu, tapi at last kau nak keluar huha-huha dengan kawan-kawan kau. Lain kali kalau kau nak berdendang dengan diorang, kau tak usah balik rumah!” nenekku yang berusia awal 60an itu mula meninggikan suara. Jelas riak mukanya menunjukkan kekecewaan.
Serba salah aku dibuatnya ketika itu. Terdetik dihatiku ingin memberontak dan membalas kata-katanya itu tapi aku tak berdaya. Aku tak sampai hati nak lawan cakap Wan.

Aku faham orang tua memang mudah sensitif dengan benda-benda kecil.
So, aku tahu aku perlu mengalah.
Aku perlu tahu untuk mengelak jadi kurang ajar.
Aku menghela nafas panjang sambil meleraikan helaian rambutku yang kusut.
Sekusut fikiran ku ketika itu

Baru ingat nak enjoy dengan kawan-kawan since birthday aku baru je 2,3 hari lepas.
Tapi kusangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari (tak sempat angkat baju kat ampaian sebab ade kelas isk isk – okay ni dah lari tajuk, namun masih ada kebenaran disebaliknya).
Nenek aku tak bagi keluar.

Fine.


Bersambung....


Saturday, January 8, 2011

Apabila otak memuntahkan kata-kata

"Naik anak tangga selangkah demi selangkah akhirnya sampai ke atas juga. Buat apa nak lompat terus sampai ke atas. Silap-silap jatuh tergolek ke bawah semula."